ANUGERAH TOKOH JASAMU DIKENANG
Alhamdulillah tanpa disangka-sangka pada hari ini iaitu 27 September 2015, Pengerusi
Penaja Persatuan Zikiri Bin Ajad telah dijemput ke Majlis Perasmian Mesyuarat
Agung Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Beluran untuk menerima
Anugerah “TOKOH JASAMU DIKENANG” bagi pihak ayahandanya iaitu Allahyarham
Tuan Haji Ajad Bin O. T Haji Oyung. Penganugerahan ini bagi memperingati dan mengenang jasa Allahyarham yang merupakan salah seorang Ahli Majlis Tertinggi Penaja
USIA Pusat yang telah ditubuhkan pada 10 Oktober 1969 dan penglibatan Allahyarham dalam mengasaskan USIA Bahagian Beluran. Beliau telah memainkan peranan yang cukup besar melalui USIA terutamanya dalam dakwah pengislaman
saudara-saudara baru di kawasan Sugut pada tahun 1970-an. Selain
itu, beliau juga merupakan Ahli Parlimen yang pertama di Kawasan Labuk Sugut atau
kini yang telah ditukar namanya kepada Beluran. Beliau menjadi Ahli Parlimen Labuk Sugut mewakili Parti USNO selama dua (2) penggal iaitu daripada
tahun 1969 sehingga 1978.
Sedikit latar belakang mengenai Allahyarham Tuan Haji Ajad Bin O. T Hj Oyung. Beliau dilahirkan di Kampung Terusan
Sugut pada 20 April 1935. Penglibatan beliau dalam politik
bermula apabila beliau menjadi Ketua Kampung menggantikan ayahnya iaitu O. T
Haji Oyung Bin Amalan di Kampung Terusan Sugut. Pada Pilhanraya Umum Negeri Sabah yang pertama diadakan pada tahun 1967 iaitu selepas negeri
Sabah mencapai kemerdekaan dan menyertai pembentukan Negara Malaysia, beliau telah berusaha keras membantu calon USNO di kerusi DUN Sugut iaitu YBhg Datuk Kangkawang Bin Kulang. Selepas pilihanraya tersebut, beliau telah dilantik sebagai Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) DUN Sugut. Pada Pilihanraya Umum Malaysia Tahun 1969 iaitu Pilihanraya Umum Malaysia yang pertama kali disertai oleh Sabah dan Sarawak, beliau telah terpilih sebagai calon mewakili Parti USNO bagi Kawasan Labuk Sugut dan telah Menang Tanpa Bertanding dalam pilihanraya tersebut. Beliau sekali lagi terpilih sebagai calon USNO pada Pilihanraya Umum Malaysia Tahun 1974 dan memenangi kerusi tersebut sekali lagi sebelum memberikan laluan kepada calon muka baru iaitu YBhg Tan Sri Ampong Bin Puyon pada Pilihanraya Umum Malaysia Tahun 1978.
Beliau memulakan pendidikan awal di
Government English Primary School di Sandakan. Namun disebabkan kesukaran pada
masa itu dan menghadapi masalah kemiskinan akibat daripada penjajahan Jepun di
Borneo Utara, beliau hanya sempat belajar sehingga Darjah Dua. Namun beliau mempunyai
kemahiran menulis dan membaca. Beliau pernah bekerja sebagai Posmen semasa pemerintahan British di Borneo Utara. Beliau juga mempunyai minat yang mendalam
terhadap sukan tinju. Semasa mudanya, beliau pernah menjadi ahli tinju dan
aktif bertinju di daerah Sandakan pada era 1950-an.
Bagi pihak Persatuan Warisan Keluarga Amalan, Sabah dan Cucu-Cicit Amalan, kami merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih kepada Pihak USIA Bahagian Beluran khususnya kepada YBhg Datuk Haji Madlis Bin Abdul Aziz, Ketua USIA Bahagian Beluran yang telah memberikan penghargaan yang cukup tinggi nilainya bagi kami semua. Walaupun Allahyarham sudah meninggalkan kita 20 tahun yang lalu, tetapi jasa dan perjuangan beliau masih lagi dikenang sehingga ke hari ini terutamanya Perjuangan USIA Beluran yang masih lagi kekal..Alfatihah...
![]() |
Cenderakenangan yang cukup tinggi nilainya kepada Persatuan Warisan keluarga Amalan, Sabah dan Cucu-Cicit Amalan |
![]() |
Zikiri Bin Ajad mewakili Allahyarham ayahanda beliau menerima cenderakenangan daripada YBHG Datuk Hj Majlis Bin Hj Aziz sebagai Penghargaan "TOKOH JASAMU DIKENANG". |
![]() |
Turut hadir Mohd Fazli Bin Zikiri, Setiausaha Penaja Persatuan yang berbaju melayu warna ungu. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan