SERAMAI 200 orang ahli keluarga Allahyarham Amalan telah menghadiri Hari Perhimpunan Keluarga Amalan yang telah dianjurkan oleh Persatuan Warisan Keluarga Amalan, Sabah di Dewan Pandu Puteri, Batu 3 Sandakan pada 26 Disember 2015.
Menurut Pengerusi Persatuan ini, Zikiri Bin Ajad yang juga merupakan mantan Setiausaha UMNO Bahagian Beluran, program ini telah dirancang sejak persatuan ini mendapat kelulusan daripada ROS pada 16 Julai 2015 lalu, namun disebabkan beberapa kekangan ianya hanya dapat diadakan pada hujung tahun ini. Melalui program sebegini, ikatan silaturahim antara waris keturunan Allahyarham Amalan akan dapat dirapatkan dan dapat saling kenal-mengenali diantara satu keluarga dengan keluarga yang lain. Beliau merakamkan setinggi penghargaan kepada ahli keluarga yang sudi datang menjayakan program ini. "Alhamdulillah, walaupun dalam masa yang singkat untuk membuat persiapan, tetapi dengan komitmen yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa dan ahli keluarga, perhimpunan keluarga ini dapat juga diadakan dengan jayanya. Bagi menghargai komitmen semua, saya akan usahakan perhimpunan ini dapat kita anjurkan setiap tahun pada setiap 31 Disember." tambahnya lagi didalam ucapan alu-aluan beliau.
Allahyarham Amalan merupakan anak kelahiran Kampung Lingkabau Sugut dan telah berkahwin dengan Allahyarhamah Rogayah dari Kampung Terusan Sugut dan Allahyarhamah Okis Binti Aging dari Kampung Sungai-Sungai Sugut. Melalui perkahwinan pertama, Allahyarham Amalan telah dikurniakan 5 orang anak iaitu Allahyarham Ahmad, Allahyarham O. T Haji Oyung, Allahyarham Haji Abbah, Allahyarham Haji Addah dan Allahyarhamah Sihaya. Manakala perkahwinan kedua beliau telah dikurniakan 2 anak iaitu Allahyarham Marad dan Allahyarhamah Fatimah.
Majlis Perhimpunan Keluarga Amalan ini telah menghimpunkan waris-waris keturunan daripada 7 orang anak Allahyarham Amalan yang datang dari Sugut, Sandakan, Tawau, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur. Waris-waris keturunan yang hadir pada perhimpunan tersebut seperti Keluarga Allahyarham Haji Ajad Bin O. T Haji Oyung Mantan Ahli Parlimen Labuk Sugut (Beluran) yang pertama tahun 1969 hingga 1978, Keluarga Allahyarham Batua Haji Abbah Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Sugut tahun 1976 hingga 1980, Keluarga Allahyarham Bajau Bin Ahmad, Keluarga Allahyarham Aripin Bin O. T Haji Oyung, Keluarga Fatimah @ Jahorah Binti Haji Addah, Keluarga Abdul Hamid Bin O. T Haji Oyung, Keluarga Indah Binti Haji Abbah, Keluarga Allahyarham Ahmad Bin Marad, Keluarga Allahyarhamah Mansurah Binti Ahmad, Keluarga Allahyarhamah Paang Binti Ahmad, Keluarga Allahyarhamah Kidang dan Haji Nasal (anak-anak Sihaya Binti Amalan), Keluarga Allahyarham Jamsali Bin Haji Addah, Keluarga Allahyarham Abdul Sali Bin Haji Addah, Keluarga Allahyarham Nasiruddin Bin Haji Addah, Keluarga Abdul Majid, Abdul Gafar @ Engkak dan Apsariah (anak-anak Fatimah Binti Amalan) dan Keluarga Allahyarham Lipaeh Bin Hj Abbah.
Dalam perhimpunan tersebut, hadirin turut dihiburkan dengan persembahan kulintangan, tarian, silat, karate dan karaoke yang dipersembahkan oleh cucu-cicit Amalan sendiri. Sementara itu, Yang Berbahagia Datuk Haji Daning Bin Bajau telah dianugerahkan Penghargaan Khas sempena perhimpunan tersebut diatas kejayaan beliau dalam bidang perniagaan dan politik sehingga menjadi waris keturunan Allahyarham Amalan yang pertama mendapat gelaran "Datuk". Selain itu, anugerah tersebut juga bertujuan sebagai pemangkin dan pencetus semangat kepada anak cucu-cicit Amalan untuk mencontohi kejayaan tokoh keluarga yang berjaya. Mahadi Bin Bajau telah mewakili Datuk Daning Bin Bajau yang telah berangkat untuk menunaikan ibadah umrah.
 |
Sebahagian Keluarga Amalan yang berkesempatan mengambil gambar kenangan beramai-ramai |
|